Dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru, Islam telah menggariskan beberapa panduan dari segi adab yang harus diikuti iaitu:
(a) Guru hendaklah mempunyai rasa belas kasihan kepada pelajar-pelajar dan anggaplah mereka sebagai anak sendiri. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya aku ini bagimu adalah seumpama seorang ayah bagi anaknya”;
(b) Tugas guru adalah amat besar iaitu melepaskan pelajar-pelajarnya dari api neraka, manakala biasanya usaha kedua-dua ibu bapa melepaskan anak dari neraka dunia;
(c) Guru hendaklah sentiasa ingat bahawa tugas mengajar ilmu, sama ada ilmu akhirat atau ilmu duniawi adalah semata-mata bertujuan untuk mencapai ke arah kebahagiaan abadi di akhirat;
(d) Mengajar dengan tujuan dunia, maka akhirnya akan binasa dan membinasakan. Berlindunglah dengan Allah daripadanya;
(e) Tidaklah layak bagi guru itu mencari upah, balasan dan terima kasih hasil dari mengajar itu. Mengajar itu kerana Allah dan mendekatkan diri kepadaNya;
(f) Guru hendaklah mengajar pelajar-pelajar mengikut susunan dan tertib ilmu pengetahuan, contohnya ajarlah pelajar-pelajar itu dengan ilmu yang terang dahulu kemudian yang tersembunyi
(g) Guru hendaklah sentiasa menjelaskan kepada pelajar bahawa maksud menuntut ilmu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‟ala dan bukan kerana ingin menjadi pemimpin, kemegahan dan perlumbaan. Terangkan juga akan keburukan sifat-sifat di atas;
(h) Dalam memberi teguran ke atas pelajar yang bersalah, lakukan dengan cara sindiran dan tidak dengan berterus-terang. Menegur dengan kasih sayang, tidak mengejek-ejek. Teguran yang terang menyebabkan pelajar hilang takut kepada guru, berani menentang dan suka meneruskan sifat yang jahat itu;
(i) Seorang guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran, tidaklah boleh mempersendakan mata pelajaran lain di hadapan pelajarnya. Sebaliknya guru hendaklah menggalakkan pelajarnya mempelajari mata pelajaran lain dengan seluas-luasnya, dan sentiasa mengajar kemajuan pelajarannya;
(j) Janganlah diajar pelajaran yang belum sampai peringkat pemahaman pelajar, kerana ditakuti pelajar akan putus asa atau otaknya akan tumpul. Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya "Kami para Nabi disuruh menempatkan masing-masing orang pada tempatnya dan berbicara dengan mereka mengikut tingkat pemikirannya”;
(k) Jika didapati pelajar telah faham terhadap pelajaran, kembangkanlah lagi ilmu pengetahuan itu hingga mendalam;
(l) Pelajar yang singkat atau lambat pemahamannya terhadap pelajaran, berikanlah penjelasan yang terang dan peringkat yang layak baginya;
(m) Sekiranya ada sesuatu perbahasan yang tidak layak diterangkan kepada pelajar itu, maka janganlah diberitahu kepadanya tentang adanya perbahasan yang lebih mendalam. Kerana ia akan menimbulkan kurang keyakinannya dan keinginannya kepada huraian yang ringkas itu, dan menganggap gurunya kikir (kedekut);
(n) Guru haruslah beramal dengan ilmu pengetahuan itu sepanjang masa kerana tindaktanduknya itu sentiasa dilihat oleh pelajar-pelajarnya, menjadi contoh dan keyakinan kepada pelajarnya pula untuk beramal. Allah Ta‟ala berfirman (al-Baqarah:44) yang maksudnya
"Adakah kamu menyuruh orang lain dengan berbuat baik dan kamu lupakan dirimu sendiri”.
(o) Tidak melakukan maksiat kerana dosa orang yang berilmu adalah lebih besar dari dosa orang bodoh melakukan maksiat. Jika orang berilmu (guru) melakukan maksiat, nescaya orang ramai (pelajarnya) mengikuti tanpa ia sedar bahawa itu dosa. Ali r.a berkata “Ada dua orang yang mendatangkan bala bencana kepada kita, iaitu orang yang berilmu tidak menjaga kehormatan dan orang yang bodoh kuat beribadat. Orang yang bodoh itu menipu dengan
peribadatannya dan orang yang berilmu itu menipu manusia itu dengan kelengahannya”.
No comments:
Post a Comment